27 March 2016

Kekecewaan tanpa jawapan betul amat menyeksakan

Aku mula terjebak dengan perbuatan keji yang cukup memalukan sejak 2008 dan hingga kini aku tiada kekuatan untuk menghalangnya. Jauh dalam sudut hatiku aku tidak mahu lagi melakukanya tetapi masih gagal menghalang daripada ianya berlaku. Kenapa? dimanakah kekuatanku? aku tahu kelemahanku tetapi tiada jawapan yang sebenar untuk membina kekuatan supaya aku dapat menghindarkan diri dari perbuatan keji itu. Bila aku melakukan perbuatantu, aku tak rasa gembira pun apatah lagi senang sebaliknya kecewa dengan mempersoalkan betapa lemahnya aku disisi Allah SWT. Aku berdoa, kenapa semua ini terjadi pada diriku, aku tak minta pun semua ini. untuk apa? mencipta dosa? bukankah itu jalan menuju ke pintu Neraka. Aku tak nak. Tapi kenapa aku masih gagal hingga kini. Kenapa? aku teringin sangat mendengar jawapanmu Ya-Allah. Aku bersedirian kerana malu mahu meminta penyelesaian dari orang lain. Aibku yang tidak mahu aku dedahkan bah Engkau Ya-Allah telah menutup aibku. Kepada KAU sahajalah aku memohon jawapan yang betul. Kalau ini berterusan, aku yang menjadi harapan terakhir untuk orang yang aku kasihi akan gagal begitulah aku tidak akan dapat bersama mereka. Maka dengarilah rintihanku, aku tidak sanggup hidup bergelumang dengan maksiat lagi.

2 January 2016

Petunjuk yang tidak aku sangkakan



Hidup aku memang dibelenggu masalah yang sangat payah aku nak hadapi. Kalau kita solat dan berdoa pasti pertolongan akan datang bila masanya akan tiba. Aku nak cakap pasal petunjuk. Benda kalau nak kata kebetulan pun tak. Tetapi bila difahami betul2 memang berkaitan dengan masalah dalam kehidupan kita.

Petunjuk dalam mimpi

Kadang2 apa yg muncul dalam mimpi itu adalah mainan jiwa kita atau hasutan syaitan. Tetapi yg aku hadapi ini pelik. Muncul dalam mimpi dan beberapa hari lepas tu betul2 berlaku. Bila kali pertama aku pernah berdepan dgn semua ni aku tak ingat dan paling jelas berlaku pada 2003. Masa tu aku masih menuntut disebuah vokasional. Aku bermimpi mengenai sesuatu yang amat penting dan aku akan kehilangannya. 7 hari selepas mimpi tu ianya terjadi. Bila aku teringat balik mimpi tu rupa-rupanya ianya satu peringatan cuma aku melakukan kesilapan sampai aku kehilangannya. Menyesal aku masa tu.

Ni berlaku dalam tahun 2015, aku dari kecil sampai dah besar selalu diekori jin pada masa2 tertentu. Bukanlah saka atau apa. Tahun 1992, aku dan keluarga aku tinggal kat sebuah rumah dua tingkat yang agak keras lebih2 lagi tingkat atas. Bomoh yg pernah merawat ada kata kat tingkat atas rumah aku pada masa tu memang dah lama didiami jin sebelum kawasan itu dibangunkan jadi kawasan perumahan. Selepas berpindah, jin yang mengganggu aku selalu datang ntah apa tujuan pun aku tak tahu. Sampailah suatu hari aku bermimpi, aku berada dalam sebuah rumah dua tingkat yang pernah aku diami. Aku berdiri dihadapan tangga kat bawah dan terlihat seorang wanita berjubah/bertelong putih tidak menampakkan wajah tunjukkan sesuatu kat aku iaitu kitab suci Al-Quran berwarna coklat. Dia tak cakap apa2 cuma tunjukkan sahaja kitab tu dan aku masih terdiam. Bila aku teringat balik mimpi tu, baru aku tahu apa yang dia cuba nak sampaikan. Mudah je kalau nak dijauhkan dari gangguan jin, Al-Quran adalah penyelamat. Allah SWT ada berkata, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman. Yang cuma aku tertanya-tanya siapakah jin dalam mimpiku itu bersusah-payah nak sampaikan kepada aku semua tu.

Berlaku dalam bulan Dis 2015. Apa yang aku hadapi adalah serupa yang pernah berlaku pada 2003. Tapi kali ini lain, mimpi itu berulang lebih 3 malam berturut-turut. Yang aku masih ingat, mimpi pertama dia menyapa seorang lelaki yang aku kenal tetapi warna rambut dia berwarna merah (dye) tidak seperti yang aku selau lihat setiap hari dengan warna rambut 'blonde'. Mimpi kedua, aku lihat dia duduk kat kaunter seorang diri dalam keadaan tak gembira. Mimpi ketiga, aku tengah bercakap dengan kawan aku dia berada berhampiran berborak dengan kawan aku tetapi tidak dengan aku. Mimpi keempat, aku datang pergi kat sebuah kaunter aku terlihat orang yang tidak aku kenal dan aku tanya mana dia. Seorang pun tak tahu. Mimpi kelima, aku pergi kat kaunter dan cakap sesuatu kat dia, aku sempat luahkan tetapi terhalang. Bila aku lihat wajah dia, dia hanya pandang sisi kat aku bila seorang wanita lain memanggil dia dan dia kata 'nanti dulu'. wajah dia tak gembira dia seolah-olah cuba nak bagitahu sesuatu tetapi tak dapat. Wajah mcm tu selalu aku lihat bila terserempak apabila memandang antara satu sama lain dia sememangnya memendam sesuatu. Mimpi keenam, aku pergi kaunter lagi dan mereka berdua dah tak ada lagi kat situ sebaliknya orang lain yg tidak aku kenal. Beberapa hari kemudian, aku baru dapat tahu mereka berdua akan pergi. Salah seorangnya adalah seorang gadis yg aku cintai yg telah mengubah aku selama-lamanya. Nama dia, wawa.


Petunjuk lain

Yang ini tak pernah aku terfikirkan. Ia berkenaan nombor yang paling aku suka iaitu 79. Suatu hari aku buka internet nak cari pasal info solat tahajjud dalam wiki. Bila aku tengok surah yg menceritakan solat malam, iainya adalah surah ke 17 dan ayat 79. Aku pun hairan, nombor 79 pula. Mulalah aku berfikir, adakah aku ni orang yang patut kerjakan solat tahajjud. Aku terpandang pula nombor 17. Aku terfikir, apa kaitannya. Mula-mula aku terjumpa sesuatu, ia bermula kiraan pada hari aku mula menunaikan solat tahajjud (26 dis 2015) dan terlihat tarikh seseorang yang aku cintai pada hari itu akan pergi (11 januari 2016). Bila aku kira ianya 17 hari. Pelik. Tapi aku tak puas hati sebab aku belum menemui jawapan yg sebenar disebalik 17. kalau surah al-isra 17 digandingkan dgn 79 mesti ada sesuatu. Beberapa hari lepas tu, aku buka youtube tgk ceramah yusuf estet. Dia ada kata, dalam sehari 5 waktu solat ada 17 ayat al-fatihah akan dibaca. Lantas aku teringat tentang seorang lelaki sikh yg menemui aku pada 2014 yg menasihatkan aku jgn tinggalkan solat 5 waktu dan solat tahajjud selalu. Barulah aku menemui jawapannya, saat itulah aku sedar aku seorang hamba yg mesti tunaikan solat dan mencintai tahajjud. Kalau difaham btul2, seseorang yg hadir dlm hidupku & yg sgt aku cintai namun tidak kesampaian tetapi akhirnya mengubah aku menjadi sesuatu yg lebih baik. Adakah semua ni satu kebetulan?

Didatangi lelaki sikh misteri


Berlaku dalam tahun 2014. Bulan bila pun aku tak ingat. Dia berbangsa sikh dan berasal dari india. Tahu bahasa melayu sikit2. Masa tu aku tengah menjalankan tugas. Shift aku waktu pagi. Masa aku tengah buat kerja aku disapa oleh seorang lelaki (nama dia aku tak ingat). Dia kata nak luangkan masa kat aku sebab ada benda yang dia nak cakap. Mulanya aku menolak ntah2 dia ni jurujual ke apa. Dia mendesak juga sebab macam ada benda penting dia nak bagi tahu. Aku macam kurang senang dengan desakan dia, aku pun bawa dia masuk pejabat & nak dengar apa yang dia nak cakapkan.

Bila dah masuk, aku pelawa dia duduk. Dia mula perkenalkan diri dia. Datang ke malaysia kerana merantau dan sempat tunjukkan foto lama. Lepas tu dia minta kertas dan pen. Aku pun beri. Dia tanya nama aku dan ic aku. Pelik, aku pun bagilah & nak tengok apa dia nak buat. Lepas tulis tu dia tenung apa yg dia tulis. Barulah dia cakap benda penting kat aku. Dia kata aku ada masalah. Belum sempat aku nak jawab dia beritahu semua masalah yang aku hadapi. Aku tergamam seketika. Tak pernah aku ceritakan masalah aku dengan sesiapapun selama ini walaupun dengan mak dan ayah aku pun tak tahu apa yang aku hadapi. Aku terdiam. Dia tanya aku balik apa yang dia cakap adalah benar dan aku mengangguk. Aku tanya dia, kalau dia ni tukang tilik. Dia kata tidak tetapi dia memang tahu apa yang dia buat. Dia tanya aku kalau aku seorang muslim. Aku jawablah, ya. Dia bagi nasihat kat aku, kalau aku nak selesaikan masalah yang aku hadapi cuma buat dua benda, jangan tinggalkan solat 5 waktu dan solat tahajjud selalu. Sekali lagi aku terdiam. Macammana dia boleh tahu semua ni. Aku kebingungan dengan apa yang aku hadapi. Tak lama lepas tu dia minta diri dan aku iringi dia keluar pejabat dan sempat berbual seketika sebelum dia pergi.

Inilah kali pertama aku didatangi oleh seorang insan yang tidak pernah aku ketahui dan tidak pernah bertemu sebelum ini tetapi tahu apa yang aku hadapi. Orang kata, kalau kita solat dan berdoa memohon pertolongan dan petunjuk akan dimakbulkan juga, pertolongan itu akan datang juga. Adakah Allah SWT memakbulkan doaku. wallahualam.

30 December 2015

Cintaku padanya walaupun tidak kesampaian

Cintaku padanya walaupun tidak kesampaian

Aku mencintai seorang gadis bernama wawa (bukan nama sebenarnya). Dia bukanlah muslim (kristian) tetapi kerana hati saling ingin mencintai tidak bermakna ianya satu halangan walaupun aku seorang muslim. Cuma terhalang. Aku ingin mencintainya tetapi dihalang.

Cinta itu anugerah Allah SWT. Tidak mungkin aku akan mencintai wawa kalau tidak bersebab. Setelah sekian lama dibelenggu masalah yang menimpa dan akhirnya aku lepaskan jua walaupun perit hati untuk menerima. Berterus terang aku katakan, hatiku cukup ikhlas mencintai wawa dan demi agamaku aku teringin membawa dia mengenali siapa Tuhan yang layak dia sembah dan ada satu nama yang cukup aku suka untuknya iaitu Nur Safiya. Kerana sifatnya sebagai hawa yang aku impikan dalam hidupku sebab itulah aku pilih nama yang indah. Jika sudah ketentuan, aku redha dan pasrah walaupun terpaksa melepaskannya pergi. Hasratku tak kesampaian tetapi jauh disudut hatiku aku ingin melihat dia sebagai seorang muslim.

Walaupun sudah tiada lagi tetapi aku berdoa untuknya diberi hidayah dan petunjuk untuk memeluk agama islam. Aku tidak sampai hati melihat dia pergi dari dunia ini dalam keadaan tidak mengenali siapa tuhan yang layak dia sembah. Kerana cinta dan kasihku pada wawa, aku akan terus berdoa. Tidak kita bertemu didunia, diSyurga jualah kita bersatu. Setiap orang beriman impikan syurga begitulah juga doaku untuknya.


23 December 2015

Aku adalah mangsa sihir

Aku adalah mangsa sihir

Segalanya bermula bila aku berusia 17 tahun. Zaman sekolah memang menyeronokkan apatah lagi bila kita memiliki teman istimewa yang menemani kita. Dari situlah juga mimpi ngeri yang aku tanggung lebih dari 10 tahun tanpa aku sedari bermula.

Semua aku ketahui selepas aku menjalani rawatan untuk membuang sihir yang membelenggu diriku sekian lama dan angkara siapa yang cuba menghancurkan hidupku. Bila sudah tahu siapa pelakunya sudah tentu aku begitu kecewa dan tidak menyangka orangnya adalah insan yang pernah aku cintai dizaman sekolah yang tergamak melakukan perbuatan keji itu terhadap diriku. Dendam, itulah puncanya.

Hubungan cinta antara aku dan si dia berakhir sebelum menjelang SPM tetapi siapa sangka kekecewaan dalam percintaan berakhir dengan kebencian dan dendam kerana kegagalan dalam hubungan cinta. Lebih dari 10 tahun itulah juga aku gagal memikat mana-mana gadis dan sebagai lelaki sudah tentu aku mahukan teman istimewa berada disisiku. Tapi itu semua terhalang dek kerana sifat dendam manusia yang tiada kesudahan mahu melihat kehidupan orang lain hancur. Dalam tempoh itulah juga aku kerap berdepan dengan begitu banyak kegagalan. Satu demi satu yang aku usahakan tidak pernah menjadi. Dalam kehidupanku sehingga kini (ketika artikel ini ditaip) aku tidak pernah merasai kemenangan paling manis. Orang kata "true glory" dan lelaki seperti aku sudah tentu dahagakannya dan semua terhalang kerana sihir. Seperti itulah juga aku seperti bersendirian dan jiwaku begitu sepi. Bila kesepian dan tidak ada tempat untuk aku meluahkan perasaanku terhadap orang yang menyayangiku, memahamiku dan aku percayai.

Ia tidak berakhir begitu sahaja, sekali lagi aku dibelenggu masalah serupa semasa aku berada dialam pekerjaan. Ianya berlaku sebelum aku dirawat. Dalam tempoh aku terkena sihir, aku kerap jadi seorang pemarah atas sebab timbul perasaan syak wasangka yang tidak masuk akal. Aku masih ingat dizaman remaja sifat sebegini tidak timbul dan bila menjelang dewasa ia tiba-tiba muncul dan akibatnya diriku menjadi seorang yang menyisihkan orang lain.

Seterusnya aku jadi mangsa sihir kedua, kali ini dari seorang gadis bekerja bersama aku yang amat menyukaiku tetapi hancur dek gara-gara sikap panas baran aku dan akhirnya gadis itu berhenti. Bila aku ketahui hal sebenar mengapa dia berhenti, aku agak kecewa. Berterus-terang aku katakan, hatiku amat menyukai dia dan aku sempat meminta maaf melalui sms. Tetapi kesemua itu tidak menghentikan dia menyerangku dengan sihir. Keadaanku selepas itu semakin parah, saban hari aku menjadi manusia yang pemarah. Kerana sifat marahlah juga aku menyisihkan diri sehingga aku menjadi seorang yang sangat sukar untuk menghampiri gadis yang aku sukai dan boleh dikatakan aku menyisihkan diri dari wanita disekelilingku. Bayangkan gadis kedua yang menyihirkku tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku keatas diriku. Kalaulah aku sempat merawat diriku kesemua itu dapat dihalang. Walauapapun semuanya sudah terlambat. Gadis itu pun sudah berumah tangga Aku menjalani rawaran sekali lagi dan hingga kini (ketika artikel ini ditaip) kesan sihir itu masih aku rasai dan aku cuba sedaya-upaya untuk melawannya.

Apabila aku sudah ketahui siapa pelakunya, aku cuba tidak mahu menjadi manusia yang membenci, pendendam dan hanya mahu memaafkan. Orang kata kalau kita balas balik tak ada beza pun antara kita dan mereka. Sama sahaja. Aku redha dengan apa yang berlaku keatas diriku. Sehingga kini aku masih gagal memiliki mana-mana teman istimewa (ketika artikel ini ditaip). Berterus-terang aku katakan jiwaku sungguh terseksa dan aku cukup kesepian. Aku tidak tahu bila semua ini akan berakhir tetapi aku tetap akan bersabar. Orang disekelilingku akan melihat sebagai apa diriku sekarang tetapi isi hatiku mereka tidak tahu betapa seksanya aku melalui semua ini. Bayangkan lebih dari 10 tahun aku menanggungnya hanya Tuhan sahaja yang tahu kesakitanku.

Masa aku menaip artikel ini, aku menangis kerana terkenangkan nasib yang menimpa diriku. Sebagai insan biasa adalah satu lumrah sebagai seorang yang memiliki jiwa yang cukup terseksa dan terluka. Tetapi syukur alhamdulillah aku tidak tersungkur menjadi manusia gila atau hilang segala kehidupan hanya kerana aku percaya pada satu ayat dalam Al-Quran ada menyebut "jangan berputus asa dari rahmatNya". Kerana itulah aku terus berdiri tanpa berputus asa.